Artikel Terbaru

Makalah Konsep Harta Menurut Islam

Makalah Konsep Harta Menurut Islam: Harta merupakan keperluan asas bagi manusia. Dr. Abdul Karim Zaidan mentakrifkan harta sebagai "setiap sesuatu yang boleh dikuasai dan dimanfaatkan pada kebiasaannya". Takrif ini menekankan dua perkara iaitu boleh dikuasai dan dimanfaatkan. Manusia dengan sifat fitrahnya amat suka kepada harta dan mengumpulnya. Mereka tidak pernah merasa puas dalam mengejar harta kekayaan. Tidak ada sesuatu yang dapat menghalang kecintaan mereka mengejar harta kecuali kematian. Allah telah merakamkan sifat kecintaan manusia kepada harta benda dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan kamu cintai harta benda dengan kecintaan yan g berlebihan"(al-Fajr 20).

Al-Quran menggambarkan bahawa manusia mencintai harta kekayaan melebihi kecintaan kepada anak-anak dan keluarga dengan firman-Nya: "Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi, amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" (al-Kahfi, 46). Ayat ini mendahulukan perkataan harta daripada perkataan anak-anak yang menunjukkan manusia amat mencintai harta kekayaan. Malahan manusia sanggup berkelahi dan berperang demi untuk mendapatkan harta.

Manusia telah mencipta berbagai-bagai sistem ekonomi seperti kapitalis, sosialis, komunis, dan lain-lain bertujuan untuk mengatasi masalah ekonomi serta hubungan manusia dengan ekonomi dan harta kekayaan. Dalam sistem kapitalis kita dapat melihat dengan jelas penumpuan yang berlebihan terhadap kemaslahatan individu. Dalam sistem ini, individu bebas memiliki hak pemilikan harta yang mutlak, tanpa terikat kepada syarat-syarat tertentu dalam membelanjakan harta. Sementara itu, sistem komunis dan sosialis pula mengharamkan pemilikan kepada individu dan sebaliknya menyerahkan pemilikan tersebut kepada negara sebagai pihak yang berhak menentukan harta tersebut.

Dalam Islam keseimbangan yang adil merupakan asas dalam pemilikan harta. Malahan Islam tidak menganiayai sesiapa, terutama golongan miskin, dan juga tidak menzalimi kebebasan individu. Islam memilih jalan yang seimbang di antara kedua-dua sistem tersebut dan sistem ini telah lahir bersama kelahiran Islam sejak lebih 14 kurun yang lalu. Sistem ekonomi Islam tidak melampau dan tidak pula mengabaikannya. Islam memberi hak kepada individu dan masyarakat dan ia menuntut kedua-dua faktor ini melaksanakan kewajiban dan tanggungjawabnya masing-masing.

Sesungguhnya Islam telah meletakkan asas yang cukup sempurna. Islam menilai harta adalah perkara keperluan asasi dalam kehidupan manusia yang disebut oleh ulama Usul Fiqh al-Kuliyyat al-Khamsah iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Lima aspek ini hendaklah dijaga dan tidak boleh dilengahkan oleh manusia. Apabila lima perkara ini dilupakan dan tidak dipedulikan dengan tidak menurut keutamaan kategorinya maka ia boleh membawa bahaya dan akan menyebabkan ketempangan dalam masyarakat. Oleh itu Islam melihat harta sebagai wasilah dan sarana untuk mencapa kebaikan dan keredhaan Tuhan, bukan sebagai matlamat akhir kehidupan manusia.

Islam juga tidak menganggap kekayaan sebagai penghalang bagi orang kaya untuk berbakti kepada agama dan meningkatkan mutu ibadat serta mendekatkan diri kepada Allah. Bahkan Islam sendiri menyuruh umat Islam mencari harta sebanyak mungkin, tetapi mestilah tidak melalaikannya dari menginagti Allah setiap waktu dan tempat. Allah sendiri telah melimpahkan kekayaan kepada Rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud : "Dan engkau didapatinya seorang miskin, lalu diberinya kekayaan" (al-Duha, ayat 8). Malahan Rasulullah s.a.w sentiasa berdoakan supaya dimasukkannya dari kalangan orang yang kaya dan dijauhkannya dari kemiskinan dan kefakiran. Islam tidak menyuruh umatnya hidup dalam keadaan miskin, sentiasa mengharap simpati orang lain dan merempat di merata tempat.

Anggapan yang menyebutkan bahawa jika ingin menjadi hamba yang soleh mestilah hidup dalam keadaan miskin bukanlah syiar agama Islam. Orang kaya bersyukur lebih Allah kasihi daripada orang miskin yang sabar. Malahan, tangan yang menghulur adalah lebih mulia daripada tangan yang meminta. Oleh yang demikian, tidak timbul persoalan yang menyebutkan bahawa umat Islam perlu hidup dalam kemiskinan kerana ia adalah ketentuan Allah. Dr. Yusof al-Qaradhawi dalam karyanya "Masalah Dalam Kemiskinan dan Cara Islam Mengatasinya" mengatakan bahawa kemiskinan itu boleh membawa seseorang melakukan perkara yang boleh menjejaskan akidahnya serta merbahaya kepada pemikiran, akhlak, masyarakat dan negara.

Kekayaan yang dimiliki boleh dikecapi, tetapi secara sederhana dan tidak menghamburnya pada jalan maksiat dan kemungkaran. Islam melarang keras umatnya membazir kerana ia merupakan perbuatan keji dari pekerjaan syaitan. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud : "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu saudara-saudara syaitan." (al-Israk, ayat 27).

Harta yang kita miliki ini sebenarnya hak Allah. Hak kita hanyalah sebagai "pengurus" yang pastinya akan ditanya dari mana harta itu kita perolehi dan ke mana harta itu dibelanjakan. Janganlah kita mengaggap harta yang kita miliki itu adalah hak mutlak kita dan kerana itu kita berbelanja sesuka hati, apatah lagi membelanjakannya dalam perkara maksiat dan kemungkaran. Allah telah menceritakan kisah kaum Nabi Syuib yang melampaui batas, angkuh dan sombong serta mengaggap harta sebagai milik mutlak mereka yang boleh dipergunakan sesuka hati dengan firman-Nya: "Mereka berkata: Wahai Syuib! Apakah sembahyang kamu menyuruh kamu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami atau melarang kami memperbuat apa yang kami kehendaki tentang harta kami". (Hud, ayat 87).

Allah mengingatkan kita supaya kita tidak mengingkari kurniaan-Nya, nanti kita akan menerima akibatnya. Negara yang gagah perkasa sekalipun dari segi ekonomi, pada suatu ketika, boleh menjadi hina, kemudiannya pupus di atas muka bumi dalam sekelip mata. Keadaan ini boleh berlaku jika rakyatnya hidup dalam keadaan mewah sehingga lupa kepada tuntutan agama, boros dalam berbelanja dan tidak ada rasa tanggungjawab untuk menolong orang yang tidak bernasib baik.

Budaya berbelanja mewah semakin menjadi-jadi di kalangan umat Islam hari ini. Ia menjadi satu budaya yang mempengaruhi secara langsung atau tidak langsung gaya hidup masyarakat. Ia bukan sahaja menyerang golongan yang berpendapatan tinggi tetapi juga golongan yang berpendatan rendah, sehingga berbelanja secara berlebihan di luar kemampuan mereka semata-mata untuk meniru gaya hidup mewah, dianggap sebagai satu kemestian dan lambang kebanggaan. Lalu mereka ghaflah (lupa) dan berada diluar batasan normal dari segi akhlak dan perbelanjaannya. Allah telah mengingatkan kita dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan jika Kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu supaya melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan) kami, kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya."(al-Israk, ayat 16).

Kita harus memahami bahawa kita tidak boleh membelanjakan harta sesuka hati, apatah lagi dalam keadaan membazir, ataupun menambahkan kesulitan kepada masyarakat dan negara. Al-Shahid Abdul Kader Audah dalam karyanya "Harta Dan Pemerintahan Dalam Islam (hal. 67) menyebutkan: "Janganlah sesekali-kali, siapa pun, menganggap bahawa harta kurniaan Allah yang ada di dalam tangannya itu adalah rezeki yang Allah khaskan kepada seorang diri sahaja, lalu dia sanggup bersikap bakhil dan tidak mahu memberikannya kepada orang orang yang berhak menerimanya; kerana Allah memberi rezeki kepada umat manusia dan mengurniakan mereka kekuasaan memerintah dengan tujuan mereka tegak di atas garis suruhan dan larangan-Nya.

Seandainya Allah memberi lebih rezeki dan kedudukan kepada sebahagian mereka maka janganlah sesekali orang yang mempunyai rezeki lebih itu beranggapan jika dia memberi sumbangan kepada orang lain, bahawa sumbangan itu datang darinya sendiri. Dia hendaklah sedar bahawa sumbangan dan pemberian itu adalah rezeki Allah dan dia bukan memberi sumbangan bagi pihak dirinya sendiri. Dia adalah pengantara untuk menyampaikan harta amanah Allah kepada orang lain sepertimana dia sendiri mengambil harta kurniaan Allah itu untuk faedah dirinya sendiri".

Penulis begitu tertarik kepada pernyataan Dr. Yusof al-Qaradhawi semasa wacana khas dengan beliau di pusat Islam dengan katanya: "Tugas manusia dalam memegang harta itu serupa dengan seseorang yang diamanahkan untuk memegang satu tabung kebajikan. Dia harus menjaga tabung itu dan hanya diizinkan untuk membelanjakannya sesuai dengan kehendak pemilik harta yang asal. Jika pemilik harta memerintahkannya untuk mendermakan sebahagian daripada harta itu untuk membina masjid, rumah-rumah kebajikan atau sekolah, dia akan segera memberikannya tanpa harus merasa sebarang kerugian apa pun. Sebab harta itu sememangnya bukan miliknya dan dia tidak akan kerugiaan apa-apa dalam mendermakannya.

Terdapat beberapa pandangan ulama mengenai hukuman orang kaya yang tidak menunaikan hak sebagai "pemegang amanah harta Allah" iaitu:

1. Mereka akan menerima ketentuan dari Allah seperti hartanya musnah ataupun harta tersebut menjadi milik orang lain.
2. Pemerintah berhak menjatuhkan hukuman ta'zir kepada mereka yang terlalu boros dan membelanjakan hartanya dalam perkara haram.
3. Hukuman akhirat yang merupakan hukuman yang lebih dahsyat kepada orang yang tidak menunaikan amanah harta Allah dengan sebaiknya.

Oleh yang demikian, Islam membenarkan seseorang itu menjadi kaya tetapi hendaklah ia sentiasa membantu dan berderma kepada orang yang tidak bernasib baik. Mereka ditegah sama sekali menghambur harta pada jalan kemaksiatan dan kemungkaran. Begitu juga mereka ditegah membelanjakan harta dengan membeli barang-barang mewah import yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

Dr. Yusof al-Qaradhawi mengingatkan kita bahawa kebahagiaan yang sebenar bukan terletak kepada banyaknya harta. Selanjutnya beliau berkata: Jika manusia ingin mencari kebahagiaan, maka ketahuilah, bahawasanya kebahagiaan tidak terdapat dalam mengumpulkan harta satu demi satu. Ia juga bukan terletak pada memiliki berguni-guni emas dan perak. Boleh sahaja seseorang itu memiliki harta dan khazanah harta sebanyak harta Qarun, tetapi dia tidak dapat menikmatinya bahkan tersiksa dengan adanya harta tersebut di tangannya.

Dia telah dilanda keletihan dalam mengumpulkannya dan kini dia kian bertambah letih dalam menjaganya, dan kian bertambah-tambah lagi keletihan dan kepenatan dalam mengembangkannya. Dari pagi hingga petang fikirannya runsing dan risau, namun hatinya tamak dan haloba. Tidak pernah dia merasa puas dengan penghasilan yang sedikit dan tidak pernah pula merasa kenyang dengan hasil yang banyak." (Peranan Nilai Dan Akhlak Dalam Ekonomi Islam, hal. 100).
(Setiap rencana pilihan petikan dari Majalah Pengasuh yang diterbitkan dalam ruangan ini, diseliakan oleh Ustaz Haji Mohd. Nawi bin Haji Ismail).

0 Response to "Makalah Konsep Harta Menurut Islam"

Silahkan beri komentar dan jangan komentar spam ya. thanks :)